Mujur dapat 3 mata – Southgate

LONDON: Biarpun bergelut dan memerlukan sepakan penalti Raheem Sterling untuk mengalahkan Iceland 1-0, namun Gareth Southgate lega England pulang dengan tiga mata.

Dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA itu, skuad The Three Lions terpaksa menunggu sehingga minit ke-92 untuk memperoleh gol.

England bernasib baik tuan rumah gagal menyamakan kedudukan selepas sepakan penalti yang diambil Birkir Bjarnason di hujung permainan melepasi palang.

Aksi di Stadium Laugardalsvollur, Reykjavik itu juga penuh dengan drama apabila kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain.

Bek kanan England, Kyle Walker dibuang padang pada minit ke-70 selepas menerima kad kuning kedua sebelum Iceland pula kehilangan Sverrir Ingi Ingason, minit ke-89.

“Pemain perlu lebih berhati-hati selepas ini kerana sukar untuk menang kalau bermain dengan 10 orang.

“Mereka patut mengelak daripada mengutip kad yang tidak perlu. Jadikan ini pengajaran,” kata Southgate.

Southgate berharap Walker dan Joe Gomez belajar daripada kesilapan yang apabila England menentang Denmark Rabu ini dalam perlawanan kedua, Kumpulan 2 Liga A.

Empat tahun sebelum ini England mencatatkan episod memalukan dalam sejarah bola sepak Inggeris apabila kalah 1-2 kepada Iceland di Euro 2016. – AGENSI

Be the first to comment

Leave a Reply