Mbappe selamatkan maruah juara dunia

SOLNA, Sweden: Kylian Mbappe meledak gol tunggal Perancis ketika membantu juara dunia itu menang tipis 1-0 ke atas Sweden dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Penyerang Paris Saint-Germain itu melepasi dua pertahanan, menanti penjaga gol Robin Olsen terjatuh sebelum melambung bola ke gawang dari sudut sukar untuk memastikan kemenangan Les Bleus dalam aksi pertama Kumpulan 3 Liga A.

“Ia permulaan yang bagus melihat kepada tahap kecergasan pemain.

“Bukanlah satu perlawanan yang hebat tapi penuh dengan kesungguhan,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.

Antoine Griezmann berpeluang menggandakan kedudukan menerusi penalti selepas Anthony Martial dijatuhkan tetapi sepakan penyerang Barcelona itu tersasar.

Perancis akan berdepan Croatia di Stade de France, Selasa ini dan Sweden bertemu juara bertahan, Portugal di Solna dalam aksi kedua. – AFP

Be the first to comment

Leave a Reply