KEMUNCULAN ramai pendakwah muda

KEMUNCULAN ramai pendakwah muda di laman sosial kini dilihat menjadi antara trend yang cukup sihat. Bagaimanapun keberanian yang ditunjukkan golongan ini adakalanya memberi impak negatif memandangkan ada pendekatan yang digunakan dilihat tidak sesuai.

Menjadi antara selebriti yang menggunakan dunia seni sebagai medan untuk berdakwah, Ashraf Muslim tidak menolak penggunaan media sosial pada waktu ini adalah medium terbaik untuk berkongsi pendapat.

Namun berpengetahuan dalam ilmu agama sahaja baginya tidak mencukupi dalam membimbing masyarakat kini. Tambah pelakon yang berasal dari Teluk Mas, Melaka ini, dia yakin warganet memerlukan pendekatan yang berbeza dalam memastikan setiap mesej yang diberikan sampai dengan berkesan.
“Saya tidak nafikan laman sosial dan televisyen adalah medium terbaik untuk berdakwah. Penting untuk kita menjelaskan Islam itu agama yang mudah dan indah, tetapi perlu ada acara yang betul. Allah memberi hidayah setiap masa, sama ada masa kita sakit, sihat atau pada bila-bila masa.
“Boleh bertegas, tetapi dalam ketegasan itu perlu ada kelembutan. Dalam masa sama, perlu untuk mereka faham tujuan utama adalah untuk menyampaikan ilmu. Jangan gunakan bahasa kasar atau menegur dengan cara tidak betul, tanya balik kepada diri adakah ini akan mengubah seseorang itu,” kata pelakon berusia 38 tahun ini kepada Pancaindera.

Mengakui sedar akan kewujudan ramai pendakwah muda di laman sosial, bagi Ashraf atau nama sebenarnya, Muhd. Ashraf Muslim yang pengalaman berbelas tahun di dalam industri banyak mengajarnya untuk memahami kehendak masyarakat. Malah dia juga yakin kematangan adalah jawapan kepada setiap permasalahan yang wujud.

“Kadang bila fikir, kita buat benda yang baik tetapi sebenarnya perkara itu tidak baik pun untuk masyarakat. Jadi jangan buat sesuatu itu berdasarkan apa yang kita fikir sahaja, kena ambil kira secara menyeluruh.

“Dalam soal ini pengalaman memainkan peranan penting, sebab ada segelintir daripada mereka ini masih muda dan tidak tahu kekuatan “netizen” itu sendiri. Jadi memang ada yang kena laluinya dahulu,” katanya.Sementara itu, pelakon ini masih menjadi rujukan peminat yang melihatnya sebagai antara artis yang boleh berkongsi masalah. Kata Ashraf dalam konteks ini dia sentiasa bersedia untuk membantu. Namun ada limitasi yang diletakkan dalam mengelakkan kekeliruan.
“Memang ada yang bertanyakan saya tentang masalah yang mereka hadapi. Tetapi saya hanya boleh berkongsi tentang apa yang sudah saya lalui saya, maksudnya melalui pengalaman saya.
“Soal agama memang saya tidak begitu pandai,” kata pelakon Bukan Cinta Malaikat ini.

Be the first to comment

Leave a Reply