Doktor tanya, nak terus menyanyi atau bisu seumur hidup?

Mengkaji susur galur kebangkitan muzik rock di Malaysia pastinya kita akan tertarik dengan sejarah awal kumpulan-kumpulan ‘otai’ yang menjadi pelopor. Boleh dikatakan hampir kebanyakannya masih aktif, namun jarang mendapat perhatian dan publisiti dalam media massa.

Bumiputra Rockers (BPR), adalah antaranya. Kumpulan yang ditubuhkan di Johor Bahru pada awal 80-an ini bukan sahaja antara pencetus awal kebangkitan muzik rock kapak, malah turut digilai peminat satu ketika dahulu dengan sajian lagu-lagu ‘berhantu’ mereka.
Di awalnya sebelum kemunculan Battle of The Bands pada penghujung 80-an, BPR terlebih dahulu mengorak langkah menjelajah negara mengiringi persembahan Raja Rock, Datuk Ramli Sarip. Pengalaman berharga selama tiga tahun itu menjadikan kumpulan ini semakin matang, malah tidak pernah dilabelkan sebagai kumpulan ‘jual muka’ ketika itu.

Mingguan Malaysia berpeluang bertemu dengan vokalis utamanya, Johari Mat Rozekhi atau Joey,57 yang berkongsi cerita mengenai zaman kegemilangan serta perkembangan terkini kumpulan yang pernah popular dengan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin ini.

“Sebenarnya seawal darjah satu lagi aku ini memang dah minat muzik. Aku terlibat dengan koir sekolah dan mula belajar main saksofon, Awang yang juga sama bersekolah dengan aku pula banyak habiskan masa belajar main gitar. Kalau tak silap aku waktu itu dalam tahun 1976 hingga 1980.

“Sebabkan minat main muzik, jadi kami tubuhkan sebuah kumpulan yang dinamakan ‘Pokai Donation’. Sebab apa letak nama itu? Sebab waktu itu kami memang pokai. Nak buat apa pun kena tong-tong (kongsi-kongsi). Nak jamming RM7 satu jam pun kena kasi seorang seringgit.

“Akhirnya tauke jamming itu lihat bakat kami. Dia minta kami praktis secara serius dan tubuhkan satu band yang dikenali sebagai ‘Titanic’. Lama juga aku dengan band ini rasanya hampir empat tahun juga, yang bestnya kos jamming semua dia sponsor.” katanya.
Namun menurut Joey, jodohnya bersama kumpulan Titanic tidak panjang kerana ‘ditarik’ masuk menganggotai kumpulan Split Time, lantas tempatnya diganti oleh Amy Search. Kebangkitan muzik rock ketika itu juga mengubah senario muzik tanah air.
Seawal tahun 82, Joey dan rakan-rakan sudah mula merakam album rock berbahasa Melayu, walaupun dilihat agak asing oleh peminat yang ketika itu lebih terdedah kepada muzik pop, namun demi minat mereka teruskan juga hingga berjaya menerbitkan dua album dalam masa dua tahun.

“Pada mulanya memang ramai tidak dapat menerima muzik rock ini, maklumlah bunyi gitar yang bising serta muzik bingit. Waktu itu kalau berjalan ke mana-mana mesti ada yang jeling dan jauhkan diri, manakan tidak rambut panjang mengerbang macam hantu, seluar ketat, pakai singlet dan anting-anting pula, sampaikan ada yang anggap kami ini band orang tak siuman.

“Kalau berselisih dengan makcik atau pakcik yang bawa anak dara mesti dia orang akan tarik anak mereka jauh-jauh sebab ketika itu mat-mat rock ini memang dilabelkan sebagai penagih dadah. Tak sanggup mereka nak dapat menantu macam kami ini,” katanya sambil tertawa.

Ibarat bulan jatuh ke riba apabila kumpulannya ketika itu dilamar oleh Ramli Sarip untuk mengiringnya setiap kali dia mengadakan pertunjukan pentas.
Hampir tiga tahun juga Joey dan rakan-rakannya ‘bergurukan’ Ramli Sarip sehinggakan kumpulannya sudah tidak lagi kekok beraksi di pentas dan berhadapan penonton.
Menurutnya nama Bumiputra Rockers juga adalah ilham Ramli Sarip yang selalu memperkenalkan mereka kepada penonton sebelum memulakan persembahan.

Be the first to comment

Leave a Reply