Rabecca Nur Al Islam ambil lima beradik anak angkat

31 Ogos – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah dirasai oleh aktres Datin Rabecca Nur Al Islam dan suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman yang bersimpati dengan nasib lima beradik yang kehilangan ibu bapa mereka sekelip mata akibat nahas jalan raya.

Rabecca membuat keputusan untuk mengambil lima beradik tersebut iaitu Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3, sebagai anak angkat selepas ibu bapa mereka, Jefri Mohd Zain, 46, dan Noorsalawati Ibrahim, 40, maut pada Mei lalu.

“Selepas saya membaca berita kemalangan yang meragut nyawa ibu bapa mereka, saya berusaha mendapatkan nombor telefon ibu saudara mereka dan selepas berpuluh kali saya menghubunginya, baru saya dapat bercakap dengannya. Saya faham situasi mereka yang terpaksa berhati-hati kerana bimbang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” ujar Rabecca seperti dipetik daripada laporan Harian Metro.

Pasangan suami isteri ini sering menjenguk lima beradik yang masih tinggal di rumah didiami bersama ibu bapa mereka di Cheras bagi bertanyakan khabar dan berkongsi kasih sayang.

“Saya rasa mereka tiada masalah dari segi kewangan kerana ramai yang menghulurkan bantuan, cuma apa yang mereka perlukan ialah kasih sayang dan perhatian.

“Sebanyak mana kasih yang kami berikan memang tak akan sama dengan kasih sayang daripada ibu dan ayah kandung, namun sekurang-kurangnya mereka tahu masih ada orang di luar sana yang mengambil berat mengenai mereka,” tambahnya lagi.

Rabecca dan Azam turut memberitahu mereka sedia membiayai persekolahan lima beradik ini kerana sebelum ini Muhd Haikal pernah bercadang untuk berhenti sekolah demi menjaga adik-adiknya.

“Saya mahu membahagiakan mereka. Ini bukan kali pertama saya mengambil anak angkat tetapi perasaan belas saya pada lima beradik ini mengatasi yang lain kerana Allah SWT ‘menjemput’ kedua-dua ibu bapa sekaligus.

“Kali pertama saya berjumpa mereka, si bongsu Safia memanggil-manggil ibunya. Hati mana yang tidak meruntun, apatah lagi mengenangkan saya sendiri ada anak kecil. Saya mahu anak-anak itu berjaya dalam pelajaran dan buktikan kepada masyarakat anak yatim piatu juga boleh berjaya,” katanya.

Rabecca dan Azam mempunyai tiga orang anak iaitu Nor Adam Daniel, 6, Nor Anggun Raveira, 2, dan Nor Anggerik Renesmee, 1.

[Kredit foto: Harian Metro]

Be the first to comment

Leave a Reply