Agama Itu Nasihat

Agama Itu Nasihat

DARI ABI RUQAYYAH, Tamim bin Aus ad-Dar RA, dari Rasulullah SAW bahawasanya beliau bersabda: “Agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat, agama itu adalah nasihat”. Mereka (para sahabat) bertanya,”Untuk siapa, wahai Rasulullah?” Rasulullah SAW menjawab,”Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam kaum Muslimin atau Mukminin, dan bagi kaum Muslimin pada umumnya”.

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata menyampaikan nasihat sesama umat Islam adalah bertujuan memperbaiki apa yang berlaku dalam kalangan manusia, menaruh belas kasihan kepada mereka dan mengajar mereka, berusaha memberi sesuatu yang berguna untuk mereka dan menghalang sesuatu buruk kepada mereka, membimbing dan mendoakan mereka, menyebarkan kasih sayang sesama mereka, meluruskan tingkah laku mereka, memperbaharui pegangan agama, membetulkan kefahaman mereka dan mengembalikan semula kedudukan umat Islam ke tempat yang sebenar sebagai pemimpin dan pembimbing dunia. Seandainya umat Islam meninggalkan kewajipan memberi nasihat sesama umat tentulah kesesatan akan merebak dan berleluasa. Oleh kerana itu tidak hairanlah nasihat sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan manusia daripada kebinasaan dan kehancuran. Firman Allah SWT, bermaksud: “Hai kaumku, bagaimanakah kamu, Aku menyeru kamu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru Aku ke neraka?”. (Surah Ghafir, ayat 41)

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin turut menjelaskan bahawa dalam tunjuk ajar harus mengandungi nilai-nilai luhur agama Islam dan juga sesuai dengan budaya dan norma-norma sosial masyarakatnya. Kita dapat menperlihatkan bagaimana santun Melayu terhadap pemikiran yang boleh diperkatakan sebagai pewarisan tunjuk ajar, sebelum memberikan tunjuk ajar, seseorang terlebih dahulu wajib memahami, mencerna, dan menghayati nilai luhur yang terdapat di dalam tunjuk ajar. Islam adalah nasihat. Maksudnya, agar kehidupan manusia terkawal maka agama sangat berguna untuk mengawal agar ia menjadi insan yang baik dan sempurna dan selanjutnya mendapat keredhaan Allah. Agama sangat berperanan membimbing manusia agar menjadi insan yang cemerlang dan bahagia di dunia dan di akhirat. Kita mesti ingat bahawa rujukan utama agama Islam adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Rasulllah SAW pernah bersabda, “Aku tinggalkan dua perkara, selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat untuk selama-lamnya”. Ketika Nabi SAW ditanya, Bagi siapa? Lalu Baginda SAW menjawab, Bagi Allah. Ini tidak bermaksud Allah memerlukan nasihat tetapi maksudnya kita mestilah beriman dan mentauhidkan Allah, jangan buat syirik, buat suruhan-Nya dan jauhi larangan-Nya, mensyukuri nikmat-Nya dan mengharap redha-Nya; Bagi Kitab-Nya, yakni beriman kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup; bagi Rasul-Nya, beriman kepada Nabi Muhammad SAW, mencintainya, dan menjadikannya sebagai ‘role model’ dan teladan dalam segala urusan agama, mencintai sesiapa yang mencintainya dan memusuhi sesiapa saja yang memusuhinya dan sunnahnya.

Selain itu, tegur mereka dengan cara yang sopan dan ingatkan mereka ketika lalai melaksanakan kewajipan. Sedangkan bagi orang awam kaum muslimin pula, ialah membimbing mereka ke jalan yang benar, mengawasi mereka daripada jalan yang salah atau sesat, saling bantu-membantu dalam urusan yang melibatkan perkara-perkara kebaikan dan ketakwaan, saling hormat – menghormati dan saling sayang menyayangi. Walaupun nasihat itu berguna, namun jika tersalah caranya boleh membawa bencana.

Be the first to comment

Leave a Reply