Luahan hati Ar Badul

KUALA LUMPUR: “Bukan mahu duit sangat, cuma nak tahu kedudukan dan hak sebagai bapa. Saya diketepikan, disisihkan. Macam saya sudah mati sama dengan arwah!”

Demikian luahan pelakon dan pengarah veteran, A.R Badul yang tertanya-tanya mengapa dia disisihkan walaupun bantuan kepada ibu, balu dan lima anak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd. Zahir Armaya sudah diselesaikan. Menurut Badul, 71, bantuan secara one off dan bulanan kepada ibu, balu dan lima anak iaitu dua anak tiri dan tiga anak kandung arwah sudah diselesaikan namun peliknya, dia tidak diberitahu atau diambil kira sebagai waris Allahyarham.

“Saya cuma nak tanya, kenapa saya diketepikan? Kalau tak layak beritahu, maklumkan. Jangan buat saya macam dah mati sama dengan arwah. Saya sebagai bapa macam tak wujud. Kalau hilang hak bagitahu.“Saya tahu, mungkin ada silap dan kurangnya saya sebagai bapa kepada arwah. Tetapi maklumkan kalau betul saya hilang hak. Sebagai bapa, salah ke kalau saya bertanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, tanggungjawab ATM dan Tentera Darat berhubung pembayaran ganjaran, faedah gantian cuti rehat (FGCR), pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan ex gratia orang tanggungan (EXOT) milik Allahyarham telah diselesaikan bermula Oktober tahun lalu.

Beliau berkata, semua bentuk bayaran dibayar oleh Kementerian Pertahanan secara one off dan bulanan kepada ibu, balu dan lima anak iaitu dua anak tiri dan tiga anak kandung arwah.Dalam pada itu, Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie mempersoalkan mengapa bantuan tersebut sudah diselesaikan tanpa pengetahuannya selaku bapa.

“Saya tak diberitahu. Adakah sebab saya tak jaga anak? Apakah kerana saya popular? Orang ingat saya banyak duit? Saya menghormati ATM tetapi mengapa tidak maklumkan apa-apa? Malah ketika penyampaian insurans berkelompok juga, saya tidak dijemput. Saya bukan perjuangkan duit saya tetapi hak anak-anak arwah. Saya sendiri tidak faham,” katanya. – UTUSAN

 

Be the first to comment

Leave a Reply