Lima lagi laporan terhadap pendakwah selebriti

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima kira-kira lima lagi laporan dibuat mangsa jenayah seksual membabitkan pendakwah selebriti yang ketika ini masih dalam tahanan reman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata semua laporan itu diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Petaling Jaya.

“Siasatan masih berjalan, setakat ini dua daerah terima laporan polis berhubung tindak laku pendakwah terbabit. Polis akan menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menggesa semua tampil ke hadapan sekiranya mereka menjadi mangsa pendakwah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima sumbangan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang disampaikan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, selaku Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif Inix Technologies Holdings Bhd di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah itu meyakinkan mereka.

“Kebanyakan mangsa masih muda, usia sekitar 21 hingga 25 tahun, mungkin tertarik dengan pendakwah itu kerana cara dia mendekati mangsa dalam usia sebegini.

“Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenang dan meyakinkan mangsa terutama bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa.

Tarikan dari segi rupa paras itu bergantung pada yang melihat, ada nampak dia tampan, ada sebaliknya tetapi cara dia bercakap yang dapat menarik mangsa,” katanya.

Berhubung dakwaan pendakwah terbabit menggunakan ilmu pengasih, katanya, setakat ini pihaknya tiada maklumat mengenainya.

“Ilmu pengasih saya tidak tahu, tapi kadang-kala lelaki warga asing kulit hitam pun boleh dapat gadis yang muda cantik juga. Ini bermakna cara bercakap, mendengar masalah, itu yang menjadi kelemahan wanita apabila mendapat nasihat dan tunjuk ajar.

“Itu adalah satu faktor yang penyebab mereka terjerat dengan pendakwah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua laporan dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan daripada pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka serta medium digunakan.

“Bila siasatan lengkap, kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta dan bukti, sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis, katanya, berkemungkinan masing-masing malu kerana membabitkan maruah diri.

“Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini melibatkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

“Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/12/761144/lima-lagi-laporan-terhadap-pendakwah-selebriti?fbclid=IwAR1eQpHQPmoDGSceUtQQKoQjxjZOCr0Ch7lTkcaoZZHf0LPish4OnPPeHq0

Be the first to comment

Leave a Reply