Kenduri kesyukuran di rumah atas bukit

Hari itu kenduri kesyukuran diadakan di rumahku di atas bukit itu. Aku berniat sudah lama. Selesai sahaja kerja menulis buku yang telah aku usahakan bertahun-tahun itu, aku akan mengadakan kenduri kesyukuran. Itulah niatku. Niat yang baik mesti ditunaikan.

“Bersyukur setelah diberikan kekuatan untuk menyempurnakan suatu pekerjaan, adalah amalan yang mulia,” kata sahabatku, Ustaz Muslim, ketika suatu hari aku memberitahunya tentang niatku itu. Dia sama sekali tidak membantah. Malah, wajahnya berseri-seri sambil memegang bahuku. Dia memberikan senyuman yang sungguh bermakna, walaupun selepas itu tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar di celah bibir gelapnya.

Disebabkan kepercayaan yang menebal di kawasan kejirananku tentang hari yang baik, maka kenduri itu diadakan pada malam jumaat. Malam yang berkat dan fadilatnya segera naik ke langit, kata Ustaz Muslim bersahaja. Kebetulan pula aku lahir pada hari Jumaat yang cerah dengan matahari berkaca-kaca di atas kepala. Tetapi Ustaz Muslimlah yang selalu menjadi tempatku merujuk hal-hal yang berkaitan kemaslahatan agama dan hukum-hakam.

Suatu hari apabila aku merendah diri mengatakan kerja sepenuh masaku adalah sebagai seorang penulis, maka Ustaz Muslim sekali lagi menyentuh bahuku lembut, sambil bersuara perlahan, dan hampir berbisik di telinga kananku, ‘Itulah tujuan dan gunanya pendidikan untukmu,’

DISYORKAN UNTUK ANDA
‘Kerajaan, masyarakat pandang remeh industri buku Malaysia’
Tertipu ibadat sendiri, abaikan fakir dan gelandangan
Agama: Adab tuntut ilmu mendapat berkat
Bandar Sharjah, UAE dipilih Kota Buku Dunia 2019
Aku tergamam dan dahiku berkerut.

Aku tidak mengerti apakah maksud kata-kata yang diucapkan Ustaz Muslim itu.

Bukankah semua orang di luar sana bercakap tentang akses pendidikan sebagai landasan penting bagi mendapatkan pekerjaan yang baik, dengan gaji besar, kereta besar dan rumah besar. Pendidikanlah yang mengubah mobiliti sosial atau status sosial masyarakat sehingga mereka mempunyai kedudukan dan terhormat di tengah-tengah masyarakat.

Pendidikanlah yang menjadikan mereka berpengaruh dan berkuasa di dalam sistem masyarakat itu. Bukannya menjadi penulis marhaen yang tidak mempunyai status quo dalam masyarakat. Sebab itu kelas sastera perlahan-lahan dihapuskan di sekolah-sekolah seluruh wilayah kampung kami. Kata pakar pendidikan dan Yang Berhormat Menteri, sastera dan dunia penulisan tidak lagi menjadi entiti dan penyumbang penting dalam konteks eko sistem dan pembangunan ekonomi negara.

Kata mereka, penulis bukanlah pekerjaan yang mulia dan terhormat di dalam masyarakat. Pendapatan penulis tidak sebesar apa yang diterima oleh peguam, arketik, doktor, pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan dan pengurus syarikat GLC yang ternama dan menghasilkan ratusan juta atau berbilion ringgit keuntungan untuk negara.

Malah, jauh sekali daripada bermimpi untuk meraih pendapatan dan kuasa yang diperolehi oleh seorang menteri. Penulis hanya golongan marhaen yang lebih baik sedikit tarafnya daripada sampah masyarakat, tetapi ironinya, kata Ustaz Muslim dengan mata yang bercahaya, penulislah yang menjadikan kehidupan itu sungguh meriah, berwarna warni dan bermanfaat. Penulislah yang di dalam segala kesederhanaannya menjadikan pendidikan itu sungguh bermakna.

Aku tidak faham, tetapi setakat itulah sahaja cerita dan pengetahuanku tentang dunia di luar bidang penulis dan pendidikan itu. Aku tidak tahu lagi hala tuju pendidikan dan politik kampung kami, selepas itu. Aku tidak tahu, apa yang menanti di hadapan berkaitan dengan urus tadbir pendidikan dan politik kampung kami selepas itu. Maka dengan perasaan yang girang, aku menerangi dunia ini dengan penulisanku sahaja. Aku tidak tahu lagi kedudukan, penghargaan dan penghormatan yang mereka nikmati hasil daripada pendidikan dan politik yang berkembang dengan begitu menakjubkan di luar sana selepas itu. Aku tidak tahu. Aku tidak tahu lagi mengapa ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah setiap hari dan bekerja bertungkus lumus, serta sanggup menyediakan sejumlah pelaburan yang besar untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Aku tidak tahu. Aku tidak tahu lagi mengapa ibu bapa menghantar anak-anak mereka belajar di universiti yang terbaik, di dalam dan luar kampung kami, dan apa yang mereka perolehi selepas itu. Aku tidak tahu.

Ya, aku tidak tahu!

Sebaliknya aku hanya mengetahui bahawa aku ini hanya seorang penulis. Aku dilahirkan sebagai penulis. Seorang penulis yang serba sederhana dan inilah perjalanan hidupku. Semua kepentingan yang berkembang di luar hidupku sebagai penulis selepas itu, telah lenyap selama-lama daripada pandanganku. Bahkan ingatan dan jiwaku. Hanya sekali sekala, dan secara bergurau aku menghidupkan watak dan kisah mereka yang menyayat hati itu di dalam bauran dunia imaginasi penulisanku. Mereka wujud dalam dunia ciptaanku yang bukan realiti. Walaupun kata orang dunia penulisan mewujudkan realiti simulakrum yang tidak ada perbezaan atau garis sempadan di antara realiti dan bukan realiti. Tetapi mereka dan cerita mereka itu sudah lama lenyap dalam hidupku. Malah, di dalam cerita ini, aku tidak tahu apakah yang berlaku kepada mereka di penghujung cerita.

Aku tidak dapat memerikan, apakah cerita yang seterusnya berlaku kepada mereka selepas itu.

Aku berusia belasan tahun ketika aku mula terlibat dalam bidang penulisan ini.

Tetapi aku tidak ingat dengan tepat berapa usiaku ketika itu. 13 tahun atau 15 tahun? Aku tidak pasti. Tetapi rasanya aku sudah baligh dan mula menggapai gerbang dewasa. Aku sudah mempunyai ingatan yang kuat dan sudah tahu memikirkan masa depanku. Aku sudah pandai berdikari, dapat membezakan yang buruk dan yang baik dalam hidupku.

Malah aku sudah pandai menyukai seseorang dan menginginkannya dalam hidupku. Aku sudah mula mengenali diriku, walaupun usia dan tubuh fizikku masih muda. Aku berada di bangku sekolah ketika itu. Di situlah dunia penulisanku bermula. Aku betul-betul memanfaatkan pendidikan yang aku perolehi untuk dunia penulisan. Betullah seperti kata Ustaz Muslim, ‘tulah guna dan tujuannya pendidikan bagiku. Menjadi penulis.’

Dalam hidupku, dunia penulisanlah yang menjadikan aku manusia berakar dan tahu

asal usulku. Dunia penulisanlah yang membawa aku terbang bebas ke langit tanpa

sebarang kongkongan. Dunia penulisanlah yang menjadikan aku berfikir, mengapa harus begini dan bukan begitu, atau mengapa harus begitu dan bukan begini. Dunia penulisanlah yang menjadikan aku lebih toleran, dan memahami batas kehidupan. Kata orang, kebenaran selalu liar dan hampir tidak terkawal di luar sana, tetapi aku menjinakkannya dengan baik di gelanggang penulisanku.

Ya, di gelanggang penulisanku.

Sebenarnya begini, aku mempunyai keinginan lain, selain daripada menjadi penulis.

Dahulu aku membayangkan untuk memandu kapal terbang, menjadi pilot. Itu pun kerana aku selalu mengimpikan mahu hidup bebas dan terbang di langit seperti burung. Aku membayangkan kedua belah tanganku mengepung di udara seperti burung helang yang mengembangkan sayap. Di dalam genangan mataku bersinar kebahagiaan yang tidak dapat dijelaskan kata-kata, tetapi tidak perlu menjelaskan apa-apa ketika sedang bahagia. Hanya gumpalan awan putih dan langit biru yang menjadi saksi. Cahaya yang menyinari di mana-mana. Hanya dengan cahaya kita dapat menikmati keindahan, dan itu juga tidak memerlukan sebarang penjelasan kata-kata, kerana tidak ada penderitaan di dalam cahaya.

Tetapi malangnya aku tidak menjadi pilot. Terbang bebas di langit yang tinggi hingga ke arsy, sebaliknya aku menjadi seorang penulis. Ya, seorang penulis sesuai dengan tujuan pendidikanku, kata Ustaz Muslim, dan aku memperjudikan diriku menjadi penulis. Kerana aku tahu, aku akan menjual kebahagiaan dengan duduk seorang diri seolah-olah seseorang yang tidak dapat memaafkan dirinya.

Aku berkelana dari sebuah benua ke sebuah benua yang lain seperti gipsi. Aku menemui sejumlah buku yang akhirnya menjadi sahabatku yang baik dan setia. Dari segenap benua, dan mereka tinggal di dalam rumahku sekarang dan menjadi ahli keluarga besarku yang tidak pernah diimpikan orang lain. Rumahku di atas bukit itu, yang dihubungkan sebuah jalan kecil yang sunyi dan menirus ke puncak, dihiasi pohon angsana di sepanjang jalan itu, kini seolah olah sebuah perkampungan kecil, dengan buku-buku yang menjadi kawanku. Kawan yang sungguh setia dan seperti manusia juga, tetapi tidak pernah mengkhianatiku. Mereka duduk memenuhi kerusi meja makanku sambil ketawa setiap malam dan menyambutku dengan ramah, seraya memelukku erat ketika aku pulang ke rumah. Mereka membawaku berdiskusi untuk pelbagai isu ekonomi, agama, sosio budaya, politik kampung kami dan dunia. Ada kalanya mereka bertengkar atau memunculkan perasaan romantik ketika sedang bercinta, kerana tulisan yang terbaik selalu muncul ketika saat-saat manis dan mabuk dalam percintaan, sehingga aku tidak pernah merasa sunyi di rumahku. Mereka menonton filem bersamaku, berebut minuman dan makanan ringan, kacang gajus bakar dan popcorn sewaktu menonton filem bersamaku.

Sewaktu aku menulis buku yang terakhir itu dan berkurung di dalam bilik kerjaku,

menulis buku yang menjadi tujuan dan puncak pendidikanku itu, yang aku bayangkan sebagai sebuah kitab selama beberapa tahun itu, dengan unsur keindahan dan martabatnya tersendiri, mereka membantuku sedaya upaya mereka semua. Kata Ustaz Muslim, aku bertuah kerana bersahabat dengan semua buku-buku itu. Aku tidak akan menulis sebaik ini lagi sesudahnya. Lalu di dalam bukuku itu, aku menggabungkan kehidupan dengan kata-kata yang tidak pernah ditulis manusia sebelumnya. Maka, ketika menulis buku itu jiwaku terbang entah ke mana, kerana seperti Niccolo Machiavelli, aku tidak tertarik untuk mempertahankan status quo, tetapi aku mahu melampauinya.

Tidak ada lagi demokrasi terpimpin di kampung kami, melainkan sistem kekuasaan

despotik, kolonial dan aneksasi, yang dihiasi idea kekerasan dan seni kelicikan dan

egoisme, yang terbentuk oleh sistem pendidikan untuk meraih dan mempertahankan

kuasa. Hanya kuasa sahaja yang menarik minat manusia melebihi apa pun, kerana dua ekor singa yang bersaing di puncak bukit, tidak akan pernah berdamai selamanya, kecuali jika dua ekor singa itu berlainan gender, kerana mereka boleh disatukan oleh ikatan perkahwinan, walaupun sesekali berhadapan krisis, dan tidak aman damai selama-lamanya. Namun, dua ekor singa jantan yang bersaing di antara satu sama lain di puncak sebuah bukit itu, mesti berakhir dengan salah seekor singa itu wajib dihapuskan dalam apa juga cara, dan bukuku yang terakhir itu mengabsahkannya. Sekarang penulisan buku itu sudahpun selesai dan sebagai tanda bersyukur, maka aku menyempurnakan niatku, untuk mengadakan kenduri kesyukuran di rumahku di atas bukit itu.

Ketika berlangsungnya hari kenduri kesyukuran itu, suasana sungguh meriah dengan buku ‘Cinta Semanis Racun’ sibuk di dapur, berceloteh sambil memotong bawang. ‘Sesuailah dengan tugas kau memotong bawang itu, kerana kau memang suka membawang,’ usik buku ‘Anna Karenina’ sambil ketawa, dan tangan lincah membersihkan daging lembu untuk dimasak daging rendang. Tetapi Buku ‘Cinta Semanis Racun’ tidak ketawa, sebaliknya dia menangis. Sehingga dipujuk dengan lembut oleh buku ‘Cantik Itu Luka’;Janganlah menangis, kalau belum dibunuh racun cinta,’ katanya, dalam bentuk gurauan juga, sehingga suasana di dapur itu tidak pernah sunyi. Tetapi di ruang tamu, setelah makanan akhirnya terhidang dengan sempurna, aku berbual-bual dengan Ustaz Muslim, yang sesekali dicelah oleh buku ‘Love in the Time of Cholera’; Asalkan, bukan Love in the Time of Corona, sudahlah…,’ kata buku ‘Snow’ buku ‘Naratif Ogonshoto’ yang duduk diam di sebelahnya mengulum senyum.

‘Nanti akan semakin bertambahlah kes kematian, dan PKP pula tidak pernah

berakhir,’ celah buku ‘Api Tauhid’ dengan suara lantang sambil membetulkan serbannya dan kemudian ketawa lembut, manakala buku ‘Persekongkolan Ahli Makrifat’ yang bersandar di dinding di sebelahnya ikut ketawa sebelum menguis buku ‘Kronik Burung Pegas’ mengisyaratkan, bahawa Ustaz Muslim sudah bersiap sedia hendak membaca doa kerana tidak lama lagi akan masuk waktu solat fardu isyak.

Tetapi aku sungguh merasa bahagia sambil mengharapkan agar kenduri kesyukuran itu dapat menyempurnakan niatku, dan seperti kata Ustaz Muslim, sesuai dengan kegunaan dan tujuan pendidikanku.

Datuk Jasni Matlani, pengarang kelahiran Beufort Sabah ini adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015

Be the first to comment

Leave a Reply