Dr Noor Hisham sudah buat yang terbaik – Menteri Agama

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mempertahankan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dianggap sudah melakukan yang terbaik dalam menangani pandemik COVID-19 di negara ini.

Menerusi Facebooknya, Zulkifli berkata, tindakan diambil Dr Noor Hisham adalah sesuai dengan kedudukan selaku Ketua Pengarah Kesihatan.

Zulkifli turut menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai antara individu terpenting dalam memerangi COVID-19.”Saya yakin, kita semua bersetuju bahawa beliau perlu kekal sihat, bersemangat dan terus berjuang bersama-sama semua barisan hadapan demi maslahah negara,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menyebut ‘DG (Dr Noor Hisham) takut mati’ pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat, hari ini.

King Sing dilaporkan mendakwa Dr Noor Hisham tidak turun padang meninjau perkembangan kes COVID-19 dan bertemu kakitangan kementerian di Sabah.

“Adakah DG (Dr Noor Hisham) dan timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes COVID-19 kerana takut mati,” kata King Sing.

Zulkifli berharap itu bukan maksud sebenar King Sing dan mungkin ada penjelasan lanjut daripadanya.

“KP Kesihatan sudah buat yang terbaik, sesuai dengan posisi beliau. Jawapan beliau terhadap kenyataan itu dalam sesi sidang media petang tadi pun sudah padat dan memadai.

“Saya cuma ingin menambah beberapa noktah penting, sebagai kefahaman semua yang membaca dan mengikut isu ini,” katanya.

Menerusi hantaran itu juga, Zulkifli turut menyebut kisah seorang sahabat Nabi, Abu Ayyub al-Ansari dan seorang pahlawan tentera Islam ketika berperang menawan kota Konstatinopel dan melawan tentera Rom yang amat ramai.

READ  Ingin Pulang!!! Beribu Pekerja Bangladesh Mahu Pulang Ke Malaysia. Gaji RM2000 di Kuantan

“Ada dalam kalangan tentera Muslim itu, seorang pahlawan yang menawarkan diri untuk menyusup masuk bersendirian dalam pasukan tentera Rom walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, ‘Kenapa sanggup membinasakan diri?.

“Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran, ‘Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan?’

“Kebetulan Abu Ayyub al-Ansari yang menjangkau 80 tahun pada ketika itu (juga termasuk dalam tentera Musllim), terdengar ayat al-Quran itu digunakan untuk menghalang pahlawan itu.

“Beliau berang dan membalas dengan menyatakan bahawa ayat itu diturunkan sebagai teguran kepada golongan Ansar yang segelintirnya mula berfikir-fikir untuk meninggalkan jihad dan balik ke kampung halaman untuk bercucuk tanam dan mengumpul harta. Ini kerana telah banyak siri kemenangan Islam dalam peperangan yang dilalui.

“Lalu turunlah peringatan Allah SWT: “Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Surah Al-Baqarah: 195),” katanya.

Zulkifli berkata, kisah itu sentiasa tersemat di hatinya dan menjadi pegangan hidupnya.

“Sekali kita berjuang, menegakkan prinsip dan kebenaran, apatah lagi perjuangan untuk keselamatan dan keamanan negara, kita tidak akan berundur!

“Saya percaya, itulah semangat KP Kesihatan, jua seluruh barisan hadapan. Tak ada apa-apa yang boleh mengganggu fokus kita dalam usaha ini. Justeru, tidak timbul isu ‘takut mati’,” katanya.

Beliau turut menjelaskan konsep kematian dalam Islam amat mudah.

“Kami yakin kematian akan menjengah bila-bila masa. Hanya Allah SWT sahaja yang hidup kekal dan tidak mati. Hanya Dia Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa Yang Kekal Abadi. Muslim tidak takut mati tetapi kami sentiasa digalakkan untuk mengingati mati.

“Apa yang kami risau dan takutkan adalah, adakah amalan kami cukup untuk menjadi bekalan bertemu Pencipta kita semua di alam sana?

READ  Full refund untuk barang rosak” – Lori Kurier Terbakar Di Cheras, Ini Penjelasan Lazada

“Kerana itulah Muslim yang sebenar, mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply